Hubungi Kami : 021 8661 5393, WA : +62 814-1350-4543

URAIAN RINGKAS MENGENAI HAKIKAT INSAN DAN FAHAM KEBAHAGIAAN

Oleh: Roslan Abd Jelani

Pengenalan Tentang Hakikat Insan           

Mengenal diri adalah anak kunci untuk mengenal Allah. Dalam hadith ada disabdakan, “Siapa yang kenal akan dirinya akan mengenal Tuhannya”. Firman Allah dalam Surah Fussilat 41:53 yang maksudnya:

“Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam dunia ini dan dalam diri mereka sendiri, supaya hakikat itu boleh terzahir kepada mereka”.

Yang dimaksudkan sebagai mengenal diri itu bukanlah mengenal bentuk zahir diri kita dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan jasadiyyah. Yang dimaksud sebagai mengenal diri itu adalah mengenali fitrah dan tabiat yang sedia ter’adat dalam diri kita, menyedari dari mana asal kita, apakah tujuan kita berada dalam dunia fana’ ini, ke mana kita hendak pergi akhirnya, dan apakah sebenarnya bahagia dan apakah sebenarnya derita.

Dalam hubungan ini, perbincangan yang tuntas tentang hakikat insan akan membolehkan kita mendalami dan cuba memahami suatu yang bersifat zatiyah (essential) yang menyebabkan insan itu menjadi dirinya atau yang menjadikan insan itu insan lalu membedakannya secara mutlak dengan mana-mana makluq-hidupan (living being) yang lain. Perkataan hakikat itu sendiri merujuk kepada suatu yang thabit, menetap, tidak berubah, dan tidak mungkin sama sekali tertakluk kepada apa jua penafian pada apa yang telah menjadikan sesuatu itu dirinya sendiri.[1]

Ahli falsafah dan pemikir moden Barat yang terkenal dengan sikap menolak adanya unsur-unsur ghaib menafikan adanya suatu yang menetap dan tidak berubah dalam diri insan. Ini disebabkan rumusan meraka tentang konsep manusia bergantung semata-mata kepada pendekatan rasional mahupun empirikal.yang masih bertaraf agakan dan tekaan, sedangkan soal yang berkaitan dengan hakikat insan bukanlah suatu yang boleh ditanggap dengan akal semata atau boleh dicapai melalui pengalaman deria. Oleh sebab itu, mereka tidak mungkin sama sekali dapat melihat adanya suatu yang tetap dan tidak berubah pada diri insan yang disebut al-ruh yang berasal dari ’alm al-’Amr atau ’alm al-Malakut kerana perkara ini adalah di luar jangkaun aqal dan pancaindera. Kecenderungan-kecenderungan filsafat yang sebeginilah yang mengakibatkan seseorang berhadapan dengan krisis dalam upaya memahami dirinya. Umumnya, jika hakikat insan tidak dikenali dengan sebaiknya maka manusia tidak akan berupaya menzahirkan dan menyuburkan keperibadiaannya sebagai manusia.

Hakikat insan merujuk kepada suatu yang bukan benda, tidak berubah, tidak mengambil ruang, tidak dapat dibahagi-bahagi yang berlawanan dengan apa yang ada di ’Alam al-Mulk atau ’Alam al-Shahadah yang boleh dijangkau oleh pancaindera. Hakikat inilah yang dinamakan sebagai al-Nafs al-Natiqah atau al-Ruh al-Insan yang secara mutlaknya membezakan manusia dengan mana-mana makhluq yang lain. Ia juga tidak hancur dengan hancurnya tubuh badan kerana potensi hancur bukan merupakan sifat dasarnya. Contohnya, setelah seseorang manusia meninggal, ruhnya tidak akan hancur sebagaimana hancurnya tubuh badan dimakan tanah. Persoalan yang berkaitan dengan kenabian, ganjaran bagi perbuatan insan, dan segala yang berkait dengan akhirat tidak akan menjadi penting tanpa adanya hakikat ini.

Dua Aspek Utama Diri Insan

Diri insan terangkum dalam dua aspek utama. Pertama, aspek yang zahir iaitu jasad yang mengandung sifat hayawani, dan kedua, aspek yang batin iaitu ruh yang mengandung sifat ‘aqali. Aspek jasad yang mengandung sifat hayawani ini menjadi punca kepada sifat-sifat tercela (mazmumah) pada insan walaupun dalam beberapa hal, ia bermanfaat kepada insan jika di kawal oleh diri yang beraqal. Ruh yang membawa sifat ‘aqali pula merupakan latifah ruhaniyyah yang kekal abadi dan termasuk dalam ’Alam al-Amr. Ruh ini bersifat mengatur dan melaksanakan tadbir atas jasad, memberi keuntungan kepada jasad dan menyempurnakannya dengan mengalirkan daya-daya pada jasad kerana dalam hal ini, jasad tidak mempunyai kemampuan pada dirinya. Hubungan ruh dan jasad bukanlah suatu terjadi semenjak azali. Hubungan antara keduanya adalah suatu yang baru, dan hubungannya itu ibarat pelaku dengan alat yang menunjukkan jasad adalah alat bagi ruh.

Dalam al-Qur’an, ia disebut dengan berbagai-bagai gelaran kerana sifatnya yang begitu dinamik: ada kalanya sebagai al-qalb  jika ia terlibat dalam penerimaan nur hidayah; adakalanya sebagai al-nafs apabila ia terlibat dalam mentadbir aspek jasad; adakalanya sebagai al-‘aql apabila ia terlibat dalam pemikiran dan pendapat; dan, adakalanya sebagai al-ruh apabila ia kembali ke alam asalnya.

Kedatangannya ke alam nyata ini ibarat pengembara yang datang untuk berdagang, dan akhirnya akan kembali ke negeri asalnya. Sebagai pedagang yang mengembara ke negeri asing, sudah tentulah dia perlu bijak menggunakan segala modal yang ada padanya bagi memperoleh satu bentuk perdagangan yang menguntungkan memandangkan modal yang dipegangnya itu diperhutangkan oleh sebuah badan pemegang dana di negeri asalnya. Modal itu merujuk kepada diri kita bersama-sama sifat yang ada padanya, manakala Pemegang Dana pula merujuk kepada Allah Yang memperhutangkan wujud diri tersebut. Sebab itulah salah satu nama Allah adalah Al-Dayyan. Perkara seperti inilah yang menjadi anak kunci untuk mengenal Allah. Perkara inilah yang diingatkan kepada oleh Hamzah Fansuri dalam Sha’ir Dagangnya yang berbunyi:

Amat-amati membuang diri,

Menjadi dagang segenap negeri,

Baik-baik engkau fikiri,

Supaya dapat emas sendiri.

Pembahagian Logikal Diri Insan

Setiap diri manusia boleh dibahagikan secara logik kepada tiga bahagian yakni diri ‘aqali  atau jiwa berakal (al-nafs al-natiqah/rational soul); diri hayawani atau jiwa haiwan (al-nafs al-hayawaniyyah/animal soul); dan diri nabati atau jiwa tumbuh-tumbuhan (al-nafs al-nabatiyyah/vegetative soul) yang ketiga-tiganya mempunyai daya kebolehan (quwwah) yang tersendiri. Daya kebolehan pada diri nabati adalah daya kebolehan makan dan minum (ghaziyah/nutrition), daya kebolehan membesar(namiyah/growth), dan daya kebolehan membiak (muwallidah/reproduction). Daya kebolehan pada diri hayawani adalah daya kebolehan penanggapan (mudrikah/perceptive) dan daya kebolehan gerak (muharrikah/motive). Daya kebolehan penanggapan membolehkan seseorang mencapai pengetahuan tentang hal-ehwal yang berkait dengan kelangsungan hidupnya di atas dunia ini. Pengetahuan ini terhasil melalui deria dalaman yang merumuskan maklumat yang disalurkan daripada deria luaran. Daya kebolehan gerak adalah bernafsu (nuzu’iyyah/appetative) dan dibantu oleh daya kebolehan shahwat (al-shahwaniyyat/desire) dan daya kebolehan marah (al-ghadabiyyah/anger). Untuk mencapai sifat yang terpuji (mahmudah/ praiseworthy) dan perilaku yang baik, diri hayawani dan daya kebolehan yang berkait dengannya hendaklah diawasi oleh daya kebolehan ‘amali yang ada pada diri ‘aqali. Daya kebolehan pada diri ‘aqali pula adalah daya kebolehan ‘ilmi dan daya kebolehan ‘amali. Daya kebolehan ‘amali akan mengarah perbuatan supaya menurut daya kebolehan ‘ilmi. Apabila dinisbahkan dengan daya kebolehan gerak pada diri hayawani, ia menghasilkan perasaan dan cita rasa; dan apabila dinisbahkan dengan daya kebolehan penanggapan pula, ia menghasilkan kemahiran. Apabila ia mentadbir dan mengarah badan insan, ia menghasilkan perlakuan yang berakhlak berasaskan kepada pengenalannya akan sifat tercela (mazmumah/blameworthy) dan terpuji (mahmudah/ praiseworthy).

Oleh sebab itu, apa yang betul-betul membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain adalah diri ‘aqali ini. Diri ‘aqali melahirkan kemampuan kepada seseorang untuk berfikir sambil bebas membuat pilihan sama ada untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukannya. Diri ‘aqali ini juga membolehkan seseorang itu sedar akan dirinya. Oleh sebab itu, dalam perbuatan insan ada kesedaran yang mendahuluinya, yakni kesedaran tentang diri seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan bahawa dia adalah subjek perbuatan tersebut. Diri ‘aqali seperti yang dinyatakan di atas itulah yang menjadi tempat letaknya ilmu. Diri tersebut boleh diibaratkan seperti raja. Apabila ia menghala ke arah kebenaran dan kebaikan yang sesuai dengan sifatnya, ketenteraman (sakinah) akan menyelubunginya sehingga seluruh jiwanya akan dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah. Keadaan diri yang sebegini dipanggil sebagai diri yang tenang (al-nafs al-mutma’innah/tranquil soul).

Berbagai-bagai daya kebolehan yang ada dalam diri insan itu pula boleh diibaratkan seperti bala tentera, yang dalam medan perjuangan, akan mengalami kemenangan dan kekalahan silih berganti. Keadaan diri yang terumbang-ambing ini tetapi terus-menerus berjuang memerangi kuasa hayawaninya ini disebut al-nafs al-lawwamah. Walau bagaimanapun, jika kuasa hayawani itu dibiar bermaharajalela akibat diri insan lemah dalam memeranginya, maka ia akan mengakibatkan satu keadaan diri yang akan sentiasa mendorong kepada keburukan sehingga ke tahap menganggap keburukan itu wajib dilakukan. Keadaan diri yang sebegini disebut al-nafs al-ammarah bi al-su’.

Berdasarkan penjelasan tentang bahagian diri itu secara logik, kita boleh simpulkan bahawa setiap manusia boleh berada di antara dua kemungkinan. Kemungkinan pertama ialah dia memperoleh kesempurnaan sebagai seorang insan sehingga dia menjadi hampir kepada Tuhan sambil menduduki martabat yang lebih tinggi daripada malaikat. Kemungkinan yang kedua pula ialah dia akan menyamai binatang kerana hanya mengetahui bagaimana untuk mengembangkan keinginan syahwatnya dan daya marahnya sahaja sehingga akhirnya dia jatuh pada kedudukan yang lebih rendah dan lebih sesat daripada binatang ternakan.

Oleh sebab itu, terbukti di sini bahawa seseorang itu boleh melakukan keadilan atau sebaliknya kezaliman terhadap dirinya sendiri. Adil terhadap diri bermaksud seseorang itu telah menempatkan dirinya pada tempatnya yang betul yakni yang sebati dengan fitrahnya sehingga berupaya mencapai taraf kesempurnaan insaniah lalu mengecapi ketenteraman diri dan menikmati kesejahteraan hakiki (sa’adah/happiness). Zalim terhadap diri pula bermaksud seseorang itu membiarkan hidupnya tertipu oleh hasutan Iblis lalu mengalami kesengsaraan jiwa (shaqawah/misery). Ingatlah sekali lagi! Orang yang akalnya melampaui nafsunya, dia bakal mencapai darajat yang lebih tinggi daripada malaikat, manakala orang yang nafsunya mengalahkan akalnya, dia akan terjatuh kepada darajat yang lebih rendah daripada binatang. Jalaluddin al-Rumi, seorang ulama sufi yang terkenal, pernah berkata:

”Malaikat bebas kerana pengetahuannya (kerana ia memiliki akal sejati dan bebas daripada nafsu),

Haiwan bebas kerana kebodohannya (kerana ia memiliki nafsu tetapi tidak mempunyai akal),

Di antara kedua-duanya, manusialah yang tetap terus berjuang (melawan godaan syaitan kerana ia mempunyai akal dan nafsu sekaligus).”

Empat Kecenderungan Psikologi Insan

Melalui tiga bahagian diri insan yang satu itu, terbitlah empat kecenderungan psikologi yang penting iaitu kecenderungan kemalaikatan (angelic), kecenderungan hawa nafsu (al-shahwaniyyah/desire), kecenderungan marah (al-ghadhabiyyah/anger), dan kecenderungan keshaitanan (al-shaitaniyyah/evil). Setiap orang akan membawa sifat yang sepadan dengan tahap mana-mana kecenderungan yang tersedia ada dalam dirinya itu. Kecenderungan kemalaikatan mengandung sifat-sifat positif yang mendorong manusia kepada kebaikan manakala tiga kecenderungan yang lainnya itu perlu dikawal dengan rapi kerana ketiga-tiganya sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan. Ketiga-tiganya ibarat air yang mencurah dari gunung, merempuh apa saja yang dilaluinya bagi membebaskan dirinya. Oleh sebab itu, ia perlu disalurkan melalui satu saluran yang betul. Saluran yang dimaksudkan bagi menyalurkan ketiga-tiga kecenderungan itu merujuk kepada iman.

Apabila kecenderungan hawa nafsu (al-shahwaniyyah) disalurkan melalui saluran iman, ia akan melahirkan salah satu budi pekerti utama (fadhilat/virtue) yang disebut ‘iffah. ‘Iffah bermaksud keadaan diri seseorang yang berdaya kuasa mengenakan batasan kebenaran (the limit of truth) terhadap segala kemahuan nafsunya supaya kemahuan tersebut tidak sampai ke peringkat yang melampaui batas agama, contohnya, tidak tamak dalam mencari kekayaan, dan tidak merampas hak orang lain dalam mengejar keuntungan. Sifat keutamaan ini akan melahirkan keseimbangan dalam dalam diri seseorang insan dari segi mengisi keperluan rohani dan jasmaninya sehingga menghasilkan ketenangan dalam perjalanan hidupnya. Lawan bagi sifat keutamaan ini adalah kejumudan akal‑budi dan ketiadaan batasan kebenaran. Sifat-sifat lain yang akanterzahir daripada budi pekerti utama ini adalah kesabaran; wara’; disiplin diri; ketenangan; keseimbangan akal‑budi; keterbukaan jiwa dan akal; dan malu (memikir tentang maksiat atau melakukannya). Seseorang yang ditanam dengan ‘iffah ini akan setiap detik berupaya menjalani kehidupannya berlandaskan hakikat kebenaran. Jika budi pekerti utama ini diterjemahkan dalam sistem organisasi maka akan muncullah satu bentuk pengurusan yang berintegriti.

Bagi kecenderungan marah (al-ghadhabiyyah) pula, apabila ia disalurkan dengan betul melalui saluran iman, ia akan melahirkan satu lagi budi pekerti utama yang disebut sebagai shaja’ah (keberanian/courage), yakni kekuatan akal‑budi yang berakarumbikan keyakinan tanpa syak, zan dan waham yang digerakkan dengan istiqamah untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Lawan bagi budi pekerti utama ini ialah bacul dan melakukan sesuatu tindakan secara membuta-tuli. Melalui budi pekerti utama ini akan terbitlah sifat-sifat terpuji seperti keyakinan diri; keteguhan semangat; ketinggian hemah diri; keteguhan pendirian; kekentalan semangat juang; dan ketabahan jiwa. Penyuburan sifat shaja’ah dalam diri seseorang akan membolehkannya menyempumakan sesuatu tanggungjawab dengan penuh yakin, tetap, teguh dan sabar melalui ikhtiar dan daya upaya dirinya. Jika sifat keutamaan ini dianjakkan dalam ruang lingkup organisasi maka akan terpancarlah daya kesungguhan dan kerajinan bagi melakukan perkara-perkara yang memenuhi maslahah masyarakat.

Dalam hal yang menyangkut tentang kecenderungan keshaitanan (al-shaitaniyyah) pula, tabiaatnya adalah mendorong unsur hawa nafsu (al-shahwaniyyah) dan unsur marah (al-ghadhabiyyah) ke arah melahirkan perbuatan-perbuatan yang keji dan menyesatkan. Kecenderungan keshaitanan ini juga diliputi oleh tabiat hasad dengki, dendam, dan iri hati. Walau bagaimanapun, apabila kecenderungan keshaitanan ini dikawal oleh iman, seseorang manusia itu akan sentiasa terdorong melakukan perkara-perkara yang baik. Dia juga akan memastikan dirinya itulah yang terdahulu dalam melakukan kebajikan, dan pada masa yang sama, dia akan sentiasa berlumba-lumba ke arah meningkatkan darjat kerohaniaannya. Namun begitu, apabila iman luput semula dari diri insan lalu kecenderungan keshaitanan ini meliputi dan menguasai semula jiwanya, maka akan terlahirlah sejenis mentaliti yang sejajar dengan faham hedonisme.

Kesimpulannya, keempat-empat kecenderungan psikologi sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini akan menerbitkan tiga tabiat utama dalam diri insan. Sebahagian daripada tabiat itu bersifat kehaiwanan. Kerja haiwan tidak lain hanyalah makan, minum, tidur, melakukan seks, dan berkelahi. Sebahagian pula bersifat keshaitanan. Shaitan pandai menipu dan berpura-pura, sibuk hendak menyesatkan manusia, memperlaga-lagakan manusia antara satu sama lain, mendorong manusia melakukan perkara-perkara jahat dan munkar, dan akhirnya membawa manusia kepada kesesatan. Sebahagian lagi bersifat kemalaikatan. Malaikat pula tidak putus-putus mentaati Tuhan dan memuji kebesaran-Nya. Pada masa yang sama, mereka bebas daripada sifat kehaiwanan.

Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa mengawasi sifat-sifat yang bakal melahirkan perbuatan dan amalan yang terkeji dalam hidup kita. Kita hendaklah tahu kenapa kita dilengkapi dengan sifat-sifat kehaiwanan itu. Kita hendaklah setiap masa berupaya menakluki sifat kehaiwanan ini dan menggunakannya sebagai alat untuk mencapai matlamat asal kita. Kita juga perlu tahu meletakkan sifat-sifat itu pada tempatnya supaya akhirnya terzahirlah adab dalam diri kita.

Sebagai renungan untuk semua manusia yang diamanahkan oleh Allah dengan kuasa untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan baik, eloklah direnung, difikir, dan diamati petikan salah satu lagi bait daripada Syair Dagang oleh Hamzah Fansuri di bawah ini:

Hai kita sekalian yang kurang,

Nafsumu itu lawan berperang,

Jangan hendak lebih baiklah kurang,

Janganlah sama dengan orang.

Menyelami Faham Kebahagiaan

Agama Islam meletakkan kebahagiaan sebagai kemuncak kepada kejayaan sesaorang.  Konsep kebahagiaan yang difahami Islam amat berbeza dari konsep yang difahami oleh Barat atau agama-agama lainnya.  Dalam Islam, apabila kita memperkatakan tentang kebahagiaan, ia bukan hanya merujuk kepada dunia ini belaka tanpa dikaitkan dengan akhirat. Kebahagiaan dan kesejahteraan mestilah mempunyai pertalian yang amat erat dengan iman, keyakinan, dan sifat-sifat diri yang mulia yang bertunjangkan pada suatu pandangan wujud semesta yang ditayangkan oleh al-Qur’an. Pandangan wujud semesta ini merupakan suatu pandangan yang saujana luasnya meninjau ‘alam shahadah dan ‘alam ghaib serta memperlihatkan kehidupan secara keseluruhannya yang secara langsung menyatakan pada seseorang insan martabatnya dalam ciptaan Allah SWT. Maksudnya di sini, makna dan pengalaman kebahagiaan dalam Islam perlu melibatkan unsur luaran dan unsur dalaman diri insan.

Jika jalan hidup yang murni dan terpuji dipisahkan daripada akhirat, ini tidak akan membolehkan seseorang mengecapi kebahagiaan yang sebenar. Pengalaman kebahagiaan mustahil dapat disedari jika ia senantiasa berubah-ubah dan berbeza-beza menurut citarasa naluri dari sedetik ke sedetik di dunia ini. Apabila kebahagiaan hanya dihubungkan dengan aspek duniawi, manusia akan dibelenggu dengan kemelut mengisi kehendak hawa nafsu tanpa batas. Akibatnya, jiwa manusia akan berkeadaan tidak tenteram walaupun mereka mengecapi kemewahan. Ingatlah! dunia dan segala isinya hanya akan mempunyai nilai apabila digunakan dan dihalakan untuk mencapai tujuan akhir itu. Dunia tidak mempunyai nilai pada dirinya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah, dunia hanya bernilai jika dihubungkan dengan tujuan yang bakal dicapai di akhirat kelak. Jika hal ini tidak disedari, dunia dengan sifat-sifatnya itu akan menjadi penghalang utama kepada pencapaian tujuan akhir tersebut.

Kenyataan di atas bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas.  Menurut beliau,

“Kesejahteraan” dan “kebahagiaan” itu bukan ianya merujuk kepada sifat badani dan jasamani insan, bukan kepada diri hayawani sifat bashari; dan bukan pula dia suatu keadaan akal-fikri insan yang hanya dapat dinikmati dalam alam fikiran dan nazar akali belaka.  Kesejahteraan dan kebahagiaan itu merujuk kepada keyakinan diri akan Hakikat Terakhir yang Mutlak yang dicari-cari itu”.

Daripada penegasan beliau itu, kita dapat memahami bahawa kebahagiaan di dunia ini bukanlah hanya berkait dengan kehidupan duniawi sahaja, malah ia berkait juga dengan kehidupan abadi kelak berpandukan kenyataan yang dijelaskan oleh agama bersumberkan wahyu. Kebahagiaan itu sebenarnya merujuk kepada keyakinan diri terhadap Haq Ta’ala yang kekal mesra dalam kalbu insan lalu melahirkan kedamaian dan ketenteraman dalam jiwa. Maka apabila sesuatu amalan itu lahir melalui keadaan jiwa yang sebegini keadaannya, amalan itu dinamakan sebagai amalan mulia. Jika keadaan diri ini melahirkan perbuatan yang dinilaikan sebagai baik oleh agama, maka ia dinamakan perilaku yang baik. Al-Attas menggariskan beberapa perkara pokok yang perlu difahami dalam mencari makna kebahagiaan. 

Syarat pertama, pengenalan tentang hakikat diri manusia itu sendiri, elemen-elemen yang dimiliki, tahap dan keterbatasan rasional dalam menjelaskan makna kebahagiaan. 

Syarat kedua, memiliki ilmu dan keyakinan tentang matlamat kehidupan serta nasib akhir manusia setelah berakhir kehidupan.

Namun apa yang kita lihat di dunia ini, setiap orang disibukkan dengan sesuatu. Sebahagiannya sibuk dengan cinta pada perempuan, sebahagiannya dengan harta benda, sebahagiannya dengan bagaimana mendapat wang yang banyak, sebahagian lagi dengan pangkat dan kedudukan, dan sebahagiannya dengan ilmu. Apabila dia telah mencapai sesuatu yang menyebabkan dia sibuk selama ini, dia akan merasa sejahtera dan bahagia. Jika sedemikian, apakah kebahagiaan yang dikecapi itu sempurna sifatnya dan berkekalan? Kebahagiaan yang sebagaimanakah yang sempurna dan kekal dan bagaimanakah kebahagiaan yang sedemikian boleh dicapai?

Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang berjodol Mizan al-‘Amal menyebut bahawa kebahagiaan akhirat adalah kebaikan yang paling tinggi kerana ia bersifat abadi dan digambarkan sebagai satu bentuk kegembiraan yang tidak bercampur dengan resah, dan kekayaan yang tidak bercampur dengan kemiskinan. Ini berbeza dengan kegembiraan yang bersifat sementara yang dapat dikecapi oleh seseorang di atas dunia ini yang seringkali meresahkan orang itu misalnya kegembiraan ketika mendapat pangkat yang akhirnya diikuti dengan perasaan resah kerana terpaksa menanggung beban kerja dan tanggungjawab yang lebih besar dan lebih berat. Begitu juga halnya dengan kekayaan yang akhirnya menimbulkan pelbagai bentuk masalah pada seseorang yang memilikinya, misalnya tidak cukup mendapat kerehatan kerana sibuk mengumpulkan harta, tidak tenteram kerana dikhuatiri harta itu dilesapkan oleh orang lain, tidak merasa selamat sepanjang masa kerana takut diugut atau dirompak, dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bermesra bersama-sama dengan isteri dan anak-anak. Inilah yang dimaksudkan dengan kemiskinan akibat daripada kekayaan.

Oleh sebab itu, kebahagiaan akhirat dikatakan sebagai kebaikan yang paling tinggi kerana padanya kesempurnaan hakikat insan ditemukan. Ada empat hal yang menyebabkan kebahagiaan akhirat berkait dengan kesempurnaan hakikat insan:

Pertama, ia bersifat abadi dan menepati dengan keadaan roh insan yang juga bersifat kekal abadi;

Kedua, ia merujuk kepada pengenalan yang paling sempurna tentang Tuhan kerana asal manusia dijadikan adalah untuk mengenal Tuhannya. Mengenal Tuhan itu adalah tuntutan fitrah insan dan pengenalan tentang Tuhan itu bersifat kekal. Pengenalan yang sempurna tentang Tuhan hanya dicapai di akhirat kerana di sana tidak ada lagi hambatan untuk mengenaliNya disebabkan jiwa insan telah kembali kepada kesucian;

Ketiga, ia melahirkan darjat kegembiraan yang paling tinggi kerana orang itu dapat melihat Tuhan di akhirat;

Keempat, ia memperlihatkan kekayaan yang mutlak kerana seseorang itu bebas daripada kekangan waktu dan keperluan-keperluan lain yang pada dasarnya membatasi kesempurnaan insan.

Penjelasan di atas tentang kebahagiaan akhirat itu tidaklah bermaksud bahawa keperluan badan (jasadi) dan tuntutan dunyawi harus diketepikan. Sebenarnya, jasad dan daya-daya yang ada padanya adalah sebahagian daripada aspek kewujudan manusia yang tetap bernilai kepada jiwa insan. Walau bagaimanapun, nilainya bersifat instrumental, yakni sebagai alat kepada roh yang perlu dikawal dan diletakkan pada tempatnya yang wajar agar manusia mencapai kesempurnaan yang disebut sebagai al-fadha’il.

Kenyataan ini menunjukkan bahawa ada pertalian yang erat antara kebahagiaan akhirat dan kebahagiaan di dunia yang merangkumi tiga perkara:

Pertama, diri (nafsiyyah) yang melibatkan ilmu dan sifat yang terpuji;

Kedua, badan (badaniyyah) seperti kesihatan tubuh badan dan keselamatan;

Ketiga, yang selain dari diri dan badan (kharijiyyah) seperti kekayaan dan selainnya yang menggalakkan kesejahteraan diri, badan, dan perkara-perkara yang berkait dengannya.

Maka dari itu, al-Attas menegaskan bahawa kebahagiaan di dunia ini bukanlah hanya berkait dengan kehidupan duniawi sahaja, malah ia berkait juga dengan kehidupan abadi kelak berpandukan kenyataan yang dijelaskan oleh agama bersumberkan wahyu. Kebahagiaan yang abadi dan paling tinggi tingkatannya adalah merujuk kepada nikmat melihat Tuhan (ru’yatuLLah) di akhirat yang akan dianugerahkan kepada hamba-hamba Allah yang soleh dan tidak jemu mentaati titah perintahNya. Inilah yang semestinya dicita-citakan oleh setiap manusia kerana kebahagiaan ini merupakan tujuan hidup insan. Ingatlah! Sesungguhnya tujuan akhir kebahagiaan adalah cinta kepada Allah (mahabbatuLLah) yang akan menjadi persediaan kepada kebahagiaan yang bakal dinikmati di akhirat kelak yakni melihat Allah (ru’yatuLLah).

Apa yang dijelaskan di atas perlu dimulai dengan keyakinan diri terhadap Haq Ta’ala yang kekal mesra dalam kalbu insan lalu melahirkan kedamaian dan ketenteraman dalam jiwa. Maka apabila sesuatu amalan itu lahir melalui keadaan jiwa yang sebegini keadaannya, amalan itu dinamakan sebagai amalan mulia. Jika keadaan diri ini melahirkan perbuatan yang dinilaikan sebagai baik oleh agama, maka ia dinamakan perilaku yang baik.

Seseorang insan yang telah mencapai tingkat kebahagiaan yang sebenar sebagaimana yang dinyatakan di atas akan senantiasa mengarah pandangannya menuju ke akhirat. Mereka akan selalu memikirkan tentang bagaimana untuk mengembalikan dirinya pada keadaan sebagaimana ia sebelum dijadikan, yakni yang merujuk kepada keadaan diri yang cukup mengenali Tuhannya dan sedar akan keberhutangan wujud dirinya. Kelompok insan yang sebeginilah yang mampu mengekalkan sifat yang terpuji dan mulia. Insan yang sebegini tidak akan menghabiskan masanya semata-mata untuk memikirkan keindahan dunia dan berangan-angan untuk mencapai umur panjang. Mereka selalu sedar bahawa dunia, betapapun melimpah-ruah dan kelazatannya menawan, tetapi ia tak ubah seperti fatamorgana yang kelazatannya akan segera menghilang dan lari bak awan. Mereka faham bahawa penggemar dunia tidak mungkin akan terlepas daripada terlibat dalam permusuhan, pertelagahan, dan persengketaan yang membawa kepada pertumpahan darah dan terputusnya tali persaudaraan. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. bahawa,

“Sebagaimana penyelam laut tidak terhindar daripada basah, maka pemburu dunia juga tak akan lepas atau terhindar daripada kotoran.”

Insan yang sebenilah yang layak digelar sebagai insan baik (insan adabi) yang menurut al-Attas sebagai insan….

“yang sedar insaf akan tanggungjawabnya kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Sebenarnya disembah; yang memahami dan melaksanakan tanggungjawabnya kepada diri sendiri dan masyarakat dengan adil. Dan yang sentiasa berusaha memperbaiki setiap aspek dirinya ke tahap yang lebih sempurna…..”

Jika kita memenuhi kriteria dan maksud insan baik (insan adabi) ini, kita akan tahu dan memahami benar-benar tentang apa yang harus dipupuk dalam diri kita supaya kita diiktiraf sebagai insan baik yang sentiasa dapat diteladani. Apa yang harus dipupuk dalam diri kita itu kelak sesuai dengan apa yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada umat yang terbaik:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk faedah manusia, menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan melarang membuat yang munkar, serta beriman kepada Allah.” [2]

Prinsip yang terkandung di sebalik konsep insan baik (insan adabi) ini ialah kita bukan sahaja perlu berpengetahuan demi meningkatkan kecekapan dan berketrampilan dalam urusan kerja seharian, malah yang lebih penting lagi adalah berhikmah sehingga membolehkan kita menjadi kaya dari segi jiwa dan berupaya memahami makna dan hakikat sebenar kehidupan ini. Insan yang berhikmah akan mengenal erti pengorbanan yang tulen, keikhlasannya tidak boleh disangsikan, sifat amanahnya tidak lagi dapat dicurigai, dan kejujurannya pula tidak lagi dapat diragui. Dia juga tidak mudah terpesona dengan kegemilangan dan kehebatan dunia yang bersifat fana’. Bahkan, dia akan bertimbang rasa serta adil kepada sesiapa sahaja yang berhak kepada sesuatu bantuan dan perlindungan tanpa mengira kaum dan agama. Pada masa yang sama, khidmat yang mereka lakukan bukan diminta untuk dipuji tetapi untuk tujuan menabur jasa dengan semata-mata mengharapkan keredhaan Illahi. Tanda yang menunjukkan seseorang itu berhikmah adalah pintar dari segi akal fikiran terutama ketika membuat keputusan, pandai membezakan antara yang benar dan yang batil, dan sentiasa berakhlak mulia.

Bagi membolehkan hal keadaan ini berlaku, ajaran perihal kebaikan hendaklah setiap masa diberikan kepada kaum Muslimin dan mereka pula hendaklah sentiasa dinasihatkan supaya membiasakan diri dengan segala macam kebaikan supaya akhirnya kebaikan itu meresap dalam diri mereka lalu menjadi perangai. Oleh itu, biarlah kita tertelan air jika dilambung ombak kehidupan tetapi jangan kita tenggelamkan diri kita dalam ombak hawa nafsu yang selamanya jahil dan tidak mengenal batas kebenaran. Bersabarlah bila diuji kerana mengamalkan kebaikan perlu kepada kesabaran. Kesabaran itu selalu membahagiakan, walaupun pada mulanya amat pahit untuk ditelan. Sabar itu pahit tetapi buahnya amat manis, jika kita tabah menghadapinya. Kemanisannya ibarat kurma bagi orang yang berbuka puasa, manisnya menghilangkan lapar sehari. Ingatlah ini baik-baik!


[1] Dari segi istilah, sesuatu yang telah diabstrak secara sempurna dengan menyisihkan segala unsur zahiriyahnya sehingga akhirnya kita memahami apa dianya, maka ini disebut sebagai al-mahiyah, manakala dari segi adanya pula disebut sebagai al-haqiqat.

[2]Al-Qur’an, ‘Ali Imran: 110

Print Friendly, PDF & Email
error: Content is protected !!